PETALING JAYA : Sebarang aduan berkaitan jenayah boleh dikemukakan menerusi talian hotline yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini merupakan usaha untuk membendung aktiviti jenayah daripada menjadi berleluasa.
Kata beliau, talian hotline 019-3764763 ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Urusetia JSJ.
“Talian hotline ini bertujuan bagi membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan, laporan atau maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah khususnya judi, pelacuran, gangsterisme, penyeludupan manusia, kontraban dan lain-lain jenayah bersindiket,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, fokus utama yang perlu dititikberatkan dalam pasukan JSJ adalah mematahkan sebarang unsur gengsterisme yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam, sindiket pemerdagangan manusia, perjudian dalam talian serta kumpulan kongsi gelap yang terbabit dalam aktiviti rompakan, peras ugut dan curi kenderaan.
Ujarnya, JSJ perlu berada selangkah di hadapan penjenayah atau sindiket agar kegiatan jenayah dapat dibendung secara lebih berkesan.
“Semua pegawai dan anggota JSJ perlu memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya dalam mempertingkatkan lagi kualiti kertas siasatan dan peningkatan kadar pendakwaan serta sabitan kes-kes jenayah,” jelasnya.































