Keadaan Perodua Axia yang terbabas sendiri itu. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang pejalan kaki wanita cedera dirempuh sebuah kereta yang terbabas sendiri di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus Sainkui @ Nidzam berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Seguntur Jaya, Batu 11, pada jam 4.15 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Rosemedian Haji Majid dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 14 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang terbabas sendiri ke bahu jalan dan melanggar seorang pejalan kaki (orang awam).
“Mangsa, iaitu seorang wanita warga asing berumur 23 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam untuk rawatan lanjut. Manakala pemandu dan dua penumpang kereta itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Severinus, setelah pemeriksaan dibuat di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada keberbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 4.16 petang.































