KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melantik Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuatkuasa 8 Mei 2023.
Ini diumumkan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan media.
Katanya, pelantikan tersebut berikutan Pengerusi IKIM sebelum ini, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada 23 Februari 2023.
Dr. Muhammad Nur, 74, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya (1970) di Klang, Selangor. Kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, UKM pada tahun 1970-74. Seterusnya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana & Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat (1978-1987) dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama. Kajian beliau diselia oleh Almarhum Prof Isma’il Raji al-Faruqi.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menjawat Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin & Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1983-1999). Beliau pernah menjadi Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan & Khidmat Masyarakat, UIAM (1990-95).
Dari sudut aktiviti sosial pula, beliau merupakan mantan Presiden ABIM, mantan Timbalan Presiden WADAH, mantan Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Di Dewan Negara, semasa menjadi Senator, beliau amat peka dalam memperkatakan isu-isu berkaitan pendidikan bagi memperkasakan bidang pendidikan di negara ini.
“Sebagai seorang tokoh ilmuan yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan, pelantikan Dr. Muhammad Nur sebagai Pengerusi IKIM akan mampu melonjak kecemerlangan IKIM sebagai sebuah institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan dunia antarabangsa.
“Mewakili Ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja IKIM, saya menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty sebagai Pengerusi baharu IKIM,” kata Dr. Mohamed Azam.
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)































