Keadaan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Tawau. – Ihsan Bomba
TAWAU: Dua buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran berasingan di sini dan Lahad Datu hari ini.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian itu.
Kejadian di sini melibatkan sebuah rumah dan juga sebuah bengkel yang turut terbakar dalam kejadian di waktu subuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian berlaku di Kampung Kalabakan pada kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 5.36 pagi dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Zainal Putera Nuadin bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 100 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 45×74 kaki terbakar 100 peratus. Sebuah bengkel jenis tidak kekal berkeluasan 15×20 kaki turut terbakar 5 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki satu pancutan sumber air terbuka dan paip air komuniti (Pasukan Bomba Sukarela Kalabakan tiba awal di lokasi) Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Jemishin berkata, setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 9 pagi.

Keadaan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Lahad Datu. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di LAHAD DATU, sebuah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Putatan pada kira-kira jam 11.40 pagi.
Ketua BBP Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid memberitahu, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai pada jam 11.49am dan sepasukan 10 anggota diketuai oleh beliau sendiri bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lapan kilometer dari BBP itu, kita mendapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×20 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dilaporkan dan operasi pemadaman 1 aliran salur bantu mula serta air dari jentera,” katanya.
Menurut Sumsoa, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.15 tengah hari.
Operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari.































