Pasukan bomba mengeluarkan mangsa daripada keretanya. -Ihsan Bomba
PAPAR: Seorang lelaki maut selepas keretanya terbabas sendiri ke dalam parit di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kejadian yang melibatkan mangsa, Alif Syahadan Lasim, 21, itu berlaku di Jalan Lama Papar pada jam 6 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hamdani Harith dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 23 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas sendiri ke dalam parit,” katanya.
Tambahnya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan rescue tools dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 8.05 pagi.































