KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan mendoakan untuk kesihatannya.
Beliau mengulas tentang spekulasi berleluasa sejak beberapa hari lalu mengenai kesihatannya.
Hajiji yang mengalami kesakitan tetapi dalam keadaan sihat, dijadual masuk ke hospital untuk prosedur kecil bagi membuang batu karang minggu depan.

Sementara itu, Ketua Menteri menyampaikan sumbangan raya kepada lebih 70 golongan asnaf pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. (gambar)
Penerima termasuk mereka dari rumah orang tua, Persatuan Orang Buta, Persatuan Orang Pekak, rumah kebajikan dan rumah anak yatim.
Ketua Menteri kemudiannya mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang mengunjungi rumah terbuka itu.































