Keadaan kenderaan yang terbalik selepas terbabas di Sandakan. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Tiga orang cedera apabila kenderaan mereka terbabas sendiri dan terbalik di sini lewat malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus @ Mohd. Nidzam Sainkui berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Labuk, Batu 9, pada jam 11 malam.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Hazmizan Maksit dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 12 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabas sendiri ke bahu jalan dan terbalik,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga orang mangsa iaitu dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun dan seorang lagi yang maklumat peribadinya tidak diperoleh telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurut Severinus, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada keberbahayaan lain di loaksi, operasi ditamatkan pada jam 11.53 malam,” katanya.





























