Azizah bergambar bersama anak-anak yatim yang diraikan.
KOTA KINABALU: Usaha untuk memberi pengiktirafan kepada golongan wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan serta memberi sumbangan kepada komuniti akan terus dipergiatkan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri l Azizah Mohd. Dun berkata, kejayaan dan prestasi menonjol kaum wanita dalam komuniti tidak dapat disangkal lagi dan perlu sentiasa diberi perhatian serta pengiktirafan sewajarnya oleh semua pihak.
“Kita adalah antara sebuah persatuan yang tertua di negeri Sabah ini dan perkara yang kita mahu terus beri tumpuan adalah memastikan pengiktirafan diberikan kepada golongan wanita, dari segi usaha kerasnya dan sumbangannya kepada pembangunan keluarga, komuniti, negeri dan sekaligus juga pembangunan negara,” katanya pada Majlis Rumah Tebuka Hari Raya Aidilfitri PPS di Dewan PPS di Sembulan, di sini, pagi tadi.
Menurut Azizah, pelbagai usaha untuk memperbanyakkan aktiviti serta program yang menonjolkan golongan wanita akan terus dirancang dan dilaksanakan dari masa ke semasa.
“Kita akan usahakan aktiviti serta program yang menampilkan wanita dan peranan wanita kepada masyarakat dan pelbagai lagi.
“Kita pada asalnya di masa awal penubuhan persatuan ini, objektifnya adalah untuk memperkasa golongan wanita di negeri ini, khasnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Aktiviti awal yang kita telah laksanakan dulu adalah seperti memasak, menjahit dan pelbagai lagi dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti dan usaha wanita bagi menjaga keluarga mereka dan akhirnya usaha keras itu berkembang sehingga mereka mampu menghasilkan produk, memulakan perniagaan, katering dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu Azizah berkata, pengiktirafan kepada kejayaan golongan wanita juga perlu lebih diperkukuhkan meliputi semua bidang.
“Kita sebagai wanita di samping memperkasa kemahiran serta kebolehan kita mengurus keluarga, perniagaan dan sebagainya yang kita lakukan sebagai rutin seharian, kita juga perlu sentiasa berusaha menambah kemahiran sedia ada.
“Misalnya dari segi kepimpinan, tidak kira sama ada kepimpinan dalam politik atau organisasi, kita perlu sentiasa meningkatkan kemahiran kita seperti kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam, mengambil kira perkembangan isu semasa dan sentiasa mengikuti kursus atau bengkel yang diadakan oleh mana-mana agensi bagi memberi nilai tambah kepada diri kita,” katanya.
Azizah juga menegaskan masih ramai golongan wanita di luar sana yang berjaya dalam kerjaya tetapi belum dikenalpasti atau diberikan pengiktirafan sewajarnya.
“Betul di luar sana masih ramai wanita yang berjaya dalam pekerjaan dan bidang yang diceburi tetapi belum diiktiraf.
“Tidak mengapa, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengenalpasti dan memastikan golongan wanita sentiasa diiktiraf dalam setiap kejayaan yang kita lakarkan untuk masyarakat,” jelasnya lagi.
Azizah turut menyeru semua wanita untuk kekal aktif dan sentiasa bergerak ke hadapan dalam melaksanakan urusan pekerjaan dan mengambil langkah proaktif.
“Kita jangan kekok dan kita perlu terus fokus dalam melaksanakan rutin harian dan pekerjaan kita tidak kira dalam apa bidang sekalipun.
“Jangan segan untuk menjalinkan kolaborasi atau jalinan kerjasama dengan agensi-agensi swasta atau kerajaan yang ada kerana saya yakin, golongan wanita semuanya mempunyai bakat dan potensi untuk ditonjolkan dan dikongsika kepada komuniti masyarakat,” ujar beliau lagi.
Majlis itu turut meraikan seramai 25 anak-anak yatim dari Rumah Kesayangan Sembulan.





























