Pasukan bomba memeriksa kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
TENOM: Seorang lelaki cedera apabila keretanya terbabas sendiri dan terbalik di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mohd. Zainal Sinsian berkata, kejadian itu berlaku di Simpang Lulua pada jam 12.30 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan beliau bersama lapan anggota bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 21 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang terbabas sendiri lalu terbalik di atas jalan raya.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 53 tahun terlibat yang diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans,” katanya.
Menurut Zainal, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 1.35 pagi.































