Andi merakamkan gambar kenangan dengan penduduk kampung yang hadir sama dalam program itu.
TAWAU: Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyeru agar Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) diperluaskan lagi pada masa akan datang.
Program yang dianjurkan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia itu, katanya, dilihat dapat memberi penerangan berkenaan isu semasa kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita dimaklumkan bahawa sasaran utama program ini adalah kepada pemimpin setempat di peringkat kampung iaitu Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Saya memandang positif tentang program ini kerana ia dapat membuka peluang kepada pemimpin akar umbi di mana mereka didedahkan dengan perkara dan isu semasa yang menjadi persoalan ramai,” katanya.

Andi ketika ditemui media
Katanya, inisiatif yang dilaksanakan pihak JaPen Malaysia ini sangat bertepatan memandangkan ramai masyarakat keliru dengan isu-isu semasa yang tular di media sosial.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian semasa program JIWA, yang diadakan di Kg Tanjung Batu Tanah Merah, di sini hari ini.
Program tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JaPen Malaysia, Datuk Mohd. Sukari Ab. Hamid.
Andi menambah bahawa program tersebut juga mampu memberi satu sudut pandang yang berbeza kerana pemimpin setempat boleh diberi pemahaman berkaitan isu yang kritikal dan sukar difahami oleh penduduk kampung.
“Melalui program JIWA, pemimpin akar umbi dapat memahai isu semasa dengan lebih berkesan khususnya berita yang selalu dimanupulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Justeru, saya berharap semua pemimpin akar umbi yang terlibat dapat membantu kerajaan dalam memberikan pemahaman kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung yang jauh dari bandar,” katanya.
Sementara itu, Andi berkata, pihaknya akan menjalankan program Jelajah Rakyat pada bulan Mei hingga September depan yang bertujuan menyantuni penduduk di sekitar parlimen Kalabakan.
“Pejabat Parlimen Kalabakan bersama agensi-agensi berkaitan akan berkolaboratif dan turun padang bertemu rakyat di bawah.
“Kita akan panggil agensi-agensi yang dirasakan dapat membantu dan memberi sumbangan kepada rakyat khususnya di kawasan yang banyak masalah,” katanya.































