Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
RANAU: Sekurang-kurangnya enam cedera termasuk dua parah dalam kemalangan empat kenderaan di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian yang melibatkan 16 mangsa berumur di antara 3 – 66 tahun itu berlaku di Jalan Kouluan, Kundasang pada jam 1.30 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Becket Gumat dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 15 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan empat buah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo, Perodua Axia, Perodua Alza dan Toyota Vellfire.
“Setiap kenderaan masing-masing terdapat empat orang mangsa dan kesemuanya 16 orang. Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba di lokasi dan kemudiannya dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan pihak ambulans KKM,” katanya.
Menurut Ridwan, dua daripada mangsa mengalami patah tangan, sekurang-kurangnya empat orang lagi mengalami cedera ringan,, lima termasuk kanak-kanak berumur 3 tahun tidak menggalami kecederaan dan yang lain belum diketahui statusnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang, katanya.





























