Suasana sekitar solat sunat Aidilfitri.
TUARAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H seharusnya menjadi wadah perpaduan masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sambutan perayaan ini merupakan peluang yang baik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya menyeru agar kita semua merayakan sambutan Aidilfitri ini secara sederhana, kunjung-mengunjung di antara satu sama lain, merapatkan silaturahim dan juga menguatkan perpaduan di kalangan rakyat bukan sahaja di kalangan rakyat yang beragama Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam.
“Sebagai sebuah masyarakat dalam satu negeri yang terdiri daripada berbilang kaum, kita dianjurkan supaya mengukuhkan perpaduan sesama kita tanpa mengira keturunan dan juga kepercayaan agama.
“Jadi saya harap perayaan ini dapat diraikan secara sederhana dan meriah di kalangan masyarakat di mana saja mereka berada dan dikesempatan ini saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” ujarnya ketika ditemui media selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Haji Noor Serusup, pagi ini.
Seramai 800 jemaah hadir bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Ketua Menteri yang bermula pada jam 7.45 pagi dan selesai pada jam 8.30 pagi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah, Datuk Norjeli Dais.





























