Rosli (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada salah seorang penerima.
PAPAR: Masyarakat berpeluang mendapatkan barang keperluan dengan harga berpatutan bagi menyambut Aidilfitri hingga Ahad ini.
Menurut Pemangku Pengarah FAMA Negeri Sabah, Sebastian Chew, pihaknya dengan inisiatif Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Khas Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) mengadakan Program Jualan Khas Syawal Madani 1444H/2023M untuk memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan keperluan, sekali gus sebagai platform kepada golongan usahawan menjana pendapatan sempena sambutan Aidilfitri.
“Penganjuran jualan khas syawal ini adalah kali ke-14 sejak tahun 2007 di lokasi sama cuma pada tahun ini, kita sekalikan dengan bazar ramadan di sebelah petang.
“Jumlah penyertaan ini kita tetapkan berdasarkan jumlah lot yang disediakan oleh Majlis Daerah Papar yang mana usahawan perlu memohon dahulu, kemudian kita akan pecahkan usahawan mengikut kategori.
“Di sini ada 45 usahawan yang sebahagian besar adalah sayur dan buah iaitu 27 usahawan, empat lot daging, ayam dan ikan manakala bakinya adalah industri asas tani.
“Program bermula sejak Selasa lalu dan semasa hari raya nanti jualan akan diteruskan oleh usahawan yang tidak menyambut hari raya hingga ke Ahad,” jelas beliau.
Mengulas mengenai harga barangan yang dijual dalam program itu, Sebastian berkata, semua usahawan terlibat telah diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi barang kawalan yang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023.
“Sepanjang pemerhatian kita, para usahawan di sini mengenakan harga berpatutan, kalau harga barang kawalan memang kita beritahu siap-siap tidak boleh jual lebih daripada harga kawalan jadi kita perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh KPDN,” dedah beliau.
Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah, Jeffri Mohd Zain berkata FAMA Papar menyasarkan pendapatan RM300 ribu sepanjang tempoh program tersebut berlangsung.
“Pada tahun 2007, pendapatan keseluruhan bagi program ini ialah RM200 ribu, kemudian pada tahun lepas mencecah RM320 ribu.
“Oleh itu, pada tahun ini kita yakin dapat mencapai sasaran RM300 ribu malah mungkin akan lebih lagi,” katanya kepada media.
Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Syawal Madani 1444H/2023M disempurnakan oleh Armizan yang diwakili Setiausaha Sulitnya, Rosli Ibrahim di sini, pada Khamis.
Pada majlis itu, Rosli turut menyampaikan duit raya dan Kit Jelajah Ramadan berupa bakul makanan kepada 30 penerima sumbangan FAMA dan Bank Rakyat.
Antara yang hadir, Pengerusi Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad @ Frederick Julianus Atik.
Dalam pada itu, tinjauan pendapat yang dilakukan media JaPen Sabah mendapati rata-rata pengunjung menyifatkan harga dan jenis barangan yang ditawarkan adalah berpatutan dan menepati keperluan serta kemampuan masyarakat madani di daerah ini.
Antaranya, warga emas, Faridah Abdullah, 61, dari Kimanis mendakwa harga barangan di kawasan tersebut sedikit rendah berbanding harga di premis lain.
“Harga di sini murah sedikit banding dengan harga barang di kedai atau pasaraya, lagipun barangnya lebih segar,” katanya yang membeli 2kg halia kampung.
Senada dengan beliau, pekerja offshore di Wilayah Persekutuan Labuan, Fauzi Mat Kassim, 23, yang berpendapat harga barangan di tapak tamu itu mampu milik.
“Harga barangan di sini berpatutan dan sesuai dengan tahap kemampuan warga Papar, harga mampu milik,” ujarnya yang ditemui ketika membeli 3kg ketam bakau untuk juadah berbuka puasa bersama keluarganya di Kg Pengalat Besar.































