Noorazmahirah dan pemimpin Beliawanis bersama mereka yang diraikan.
KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Rakyat (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman meraikan 50 orang anak yatim dan asnaf daripada kawasan DUN Sulaman di sini kelmarin.
Mereka yang turut termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, keluarga daif dan mualaf dibawa membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri di Jakel Silk House Alamesra.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sulaman, Noorazmahirah Noorzain berkata, Program Jom Shopping Raya itu bertujuan menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.
”Ia adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan kita untuk bersama-sama membantu dan menggembirakan golongan yang kurang bernasib baik lebih-lebih lagi dalam suasana perayaan sebegini. Program ini akan dijadikan sebagai program tahunan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Sulaman.
“Sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka merasai bahawa masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka di bulan mulia ini,” katanya semasa membawa anak-anak yatim dan asnaf ke Jakel Silk House Alamesra untuk membeli baju raya.
Turut hadir ialah Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah Emmie M. Idang bersama ahli exco dan jawatankuasa Beliawanis Negeri dan Bahagian Sulaman.
Noorazmahirah yang juga Naib Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah menyeru semua pihak lain agar turut serta membantu golongan kurang bernasib baik bukan sahaja bagi menceriakan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga menanam budaya masyarakat penyayang antara satu sama lain.
Beliau juga berharap sumbangan itu dapat menceriakan anak-anak berkenaan yang memilih sendiri pakaian kegemaran masing-masing.
Kesemua 50 anak yatim dan asnaf itu menerima sumbangan Beli belah Raya sebanyak RM200 setiap seorang termasuk bajet shopping dan duit raya. Beliawanis turut menyumbang 10 kotak kurma kepada pihak Jakel sebagai tanda ingatan.





























