KUCHING, 19 April (Bernama): Berbaki dua hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah semestinya pelbagai persiapan akhir telah dilaksanakan bagi tujuan ini.
Mengambil pendekatan nikmat raya dikongsi bersama, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah menyantuni serta menceriakan persiapan hari raya 30 orang penerima asnaf di sekitar kawasan Petra Jaya dengan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai bertempat di Auditorium Jelutong, Akademi Percukaian Malaysia Kuching, Sarawak.
Program ini merupakan kemuncak kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) HASiL yang telah dikendalikan oleh Kesatuan, Persatuan dan Kelab HASiL Sarawak pada hari sebelumnya, 18 April 2023 di dua lokasi terpilih iaitu Kampung Teruntum, Semariang Batu dan Anjung Kasih, Hospital Umum Sarawak.
Sumbangan berupa kit barangan keperluan asas, pakaian terpakai serta lampin pakai buang kanak-kanak telah disumbangkan kepada mereka yang memerlukan dengan nilai keseluruhan sumbangan pegawai HASiL Sarawak berjumlah RM10,809.00.
Program di Akademi Percukaian Malaysia Kuching ini pula telah disempurnakan oleh Datuk Seri Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I bersama dengan Vijayen Nagalingham, Pengarah Negeri HASiL Sarawak. Turut hadir sama menjayakan majlis tersebut ialah Pengarah-Pengarah Operasi Negeri HASiL Sarawak, wakil-wakil Kesatuan/Persatuan/Kelab LHDNM Sarawak, pengamal-pengamal media tempatan serta Team HASiL Sarawak.
Ahmad dalam sesi lawatan kerja beliau ke HASiL Sarawak berkata, program yang dianjurkan ini bertepatan dengan semangat sambutan Ramadan yang menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amalan bersedekah melalui pelaksanaan amal jariah terutamanya di bulan yang mulia ini. Selain itu juga, ia turut dilihat sebagai salah satu inisiatif HASiL Sarawak dalam menyantuni golongan asnaf serta golongan yang memerlukan di samping berkongsi rezeki serta membantu meringankan beban persiapan menjelang Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara Hasilian dengan masyarakat dan usaha murni ini mendapat keberkatan serta keredaan daripada Allah SWT.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia





























