Abidin (tengah) bersama Rev Fr Ambrose dan lain-lain semasa menyambut upacara tersebut.
RANAU: Umat Kristian di daerah ini diminta agar memberikan kerjasama erat kepada para pemimpin agama seperti Gembala, Pastor dan Paderi di sini supaya penjagaan iman dapat dijalankan dengan lancar dan lebih effektif.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang juga ADUN Paginatan berkata, di kalangan pemimpin agama Kristian di daerah, walaupun mereka adalah Bumiputera tempatan, tetapi bukan berasal dari Ranau.
“Justeru, mereka memerlukan kerjasama erat dan solidariti dari kita semua umat Kristian bagi melancarkan lagi pelayanan iman mereka, terutama di kawasan-kawasan kampung yang jauh di daerah ini.
“Ada sebahagian daripada pimpinan gereja kita tidak begitu mengetahui lokasi-lokasi gereja dan rumah ibadat di kawasan ini, dan menjadi peranan kita untuk membantu mereka menyesuaikan diri di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Upcara Sambutan Paska dan Sambutan Rev Fr Ambrose Atang sebagai Paderi Paroki Ranau yang baharu, yang diadakan di Gereja St Peter the Apostle, Paginatan, di sini, Ahad.
Menurut Abidin, umat-umat Kristian Katolik di sini harus bersyukur kerana diberikan Paderi Paroki yang baharu yang berasal dari Kampung Nagapas, Papar untuk melayani di daerah ini.
“Walaupun daripada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB), saya masih ingat pengalaman waktu kecil di mana kami belajar di Sekolah Mission yang dipimpin oleh para paderi dari Barat yang memberikan pembelajaran yang baik kepada kami.
“Pada hari ini kita bersyukur kerana ramai di kalangan masyarakat tempatan sendiri yang telah ditahbiskan menjadi para gembala umat-umat di Saabah, khususnya di daerah Ranau.
“Saya menyeru kepada jemaat-jemaat, khususnya di kawasan Paginatan agar memberikan bantuan serta kerjasama yang erat kepada Fr Ambrose dalam pelayanannya di sini,” katanya.
Sementara itu, Abidin turut memberi jaminan bahawa laluan-lauan seperti jalan raya serta jambatan yang rosak di kawasan tersebut akan sentiasa diberikan tumpuan dan usaha untuk dibaiki.
Ini kata beliau, bagi memudahkan perjalanan semua penduduk, termasuk juga para pemimpin-pemimpin gereja di sini yang kerap berkunjung ke kampung-kampung yang jauh.
Dalam masa yang sama, kata beliau, usaha bagi mendirikan sebuah pekan kecil di Paginatan masih lagi diteruskan dan kini ia pada peringkat penelitian oleh agensi pelaksana iaitu Lembaga Perumahan dan Perancang Bandar (LPPB).
Turut hadir ialah Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan (Ko-Nelayan) Sabah, Kong Soon Choi, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Ranau, Verus Pinol dan lain-lain.





























