Safar (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian dengan menekan tablet yang disediakan. – Ihsan JaPen
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan PemudahCara Sabah Maju Jaya (SMJ) di sini kelmarin sebagai manifestasi kerjasama antara sektor perkhidmatan awam dan sektor swasta dalam meningkatkan tadbir urus melalui peraturan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong berkata, selain itu, ia juga satu platform bagi menerima cadangan penambah baikan serta cadangan inisiatif baharu daripada pemain industri berkaitan perniagaan dan isu-isu lain yang berkaitan.
“Objektif inisiatif PemudahCara SMJ adalah untuk mengenal pasti, menyemak semula dan menggantikan atau meminda peraturan yang tidak membantu dalam menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau menyeru kepada semua setiausaha tetap kementerian, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, serta pegawai-pegawai daerah agar dapat bekerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan bersama Ahli-ahli Panel PemudahCara SMJ.
“Antara tugas sebagai Ahli Panel PemudahCara SMJ mengenal pasti beban peraturan, memberi pandangan dan maklumat bukti permasalahan.
“Proses ini dibuat melalui mesyuarat, bengkel, libat urus, forum atau persidangan.
“Pada masa yang sama, Sekretariat Amalan Baik Peraturan (GRP) Sabah selaku urus setia akan mengambil tindakan susulan dan memainkan peranan secara proaktif dalam memastikan keberkesanan Platform Pemudahcara SMJ dalam melonjakkan lagi imej Sabah sebagai “Negeri Mesra Pelabur – Friendly Investor State”,” katanya ketika merasmikan pelancaran PemudahCara SMJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Safar turut mengingatkan khususnya penjawat awam untuk meningkatkan tahap tadbir urus yang baik (good governance) dan ketepatan penyampaian perkhidmatan, bukan sahaja sesuai dengan jangkaan pelanggan akan tetapi melebihi ekspektasi mereka.
“Dalamilah erti kata sebenar terminologi penjawat awam dan berilah perkhidmatan dengan bersulamkan roh selaras dengan prinsip Malaysia Madani. Kita hendaklah sentiasa memikirkan apa impaknya terhadap pelanggan, negeri, ekonomi dan kesejahteraan rakyat apabila kita lewat membuat keputusan, dan berlengah dalam melaksanakan tindakan.
“Saya turut menyeru agar semua pemain industri untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri menjayakan semua perancangan pembangunan yang telah dan akan dibuat,” ujarnya, sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan pemain industri, pelabur dan peniaga yang telah memainkan peranan penting selama ini untuk sama-sama merancakkan ekonomi negeri Sabah.
Mengenai GRP, Safar berkata, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Pekeliling Am Bilangan 1/2021 berhubung pelaksanaan Polisi GRP bagi Negeri Sabah pada 23 Ogos 2021, dan diikuti pelancaran Polisi GRP Sabah yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 29 September 2021 dan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Polisi GRP Sabah) juga telah diterbitkan oleh Sekretariat GRP pada 13 September 2022.
Ketiga-tiga dokumen ini telah menjadi rujukan yang penting (guiding principle) kepada semua Penyelaras Peraturan (Regulator Coordinator) di setiap Kementerian/Jabatan, dalam melaksanakan semakan peraturan di agensi masing-masing dengan lebih sistematik, telus dan efektif, tambahnya.
“Saya dimaklumkan, dalam tempoh tahun 2021 hingga bulan Mac 2023, sebanyak sepuluh bengkel GRP bagi tujuan pemantapan amalan baik peraturan dan penyediaan Penyata Impak Peraturan (RIA) telah dianjurkan, melibatkan sebanyak 598 orang peserta yang terdiri daripada Penyelaras Peraturan (RC) di peringkat Kementerian dan Jabatan. Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula sebanyak empat bengkel telah dianjurkan bagi tujuan penyeragaman kelulusan lesen PBT, melibatkan seramai 199 orang kakitangan PBT di seluruh Sabah.
“Manakala sebanyak 22 peraturan (Enakmen atau Ordinan) telah disemak dan bakal dipinda sejak GRP Sabah dilaksanakan, pada masa yang sama inisiatif untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan telah ditambah baik, antaranya Penyeragaman Garis Panduan Permohonan Lesen Operasi PBT,” katanya.
Safar berharap proses semakan peraturan-peraturan ini akan diteruskan dengan penglibatan PemudahCara SMJ, supaya penambah baikan dapat dibuat dengan teratur dan red tape atau karenah birokrasi dapat dihapuskan.
“Ia bukan sahaja memenuhi keperluan dan ekspektasi pihak berkepentingan, tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat serta dapat mengelakkan berlakunya amalan rasuah. Tindakan yang proaktif bagi menghasilkan peraturan atau proses kerja yang yang baik sudah tentu mewujudkan persekitaran ekonomi yang menyokong kepada penglibatan aktif daripada pemain-pemain industri, sekaligus menyumbang kepada peningkatan hasil Kerajaan, kewujudan peluang pekerjaan dan ekonomi negeri dapat dipacu dengan lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 15 pemain industri dilantik sebagai PemudahCara SMJ.
“Antara tugas sebagai ahli panel PemudahCara SMJ mengenal pasti beban peraturan, memberi pandangan dan maklumat bukti permasalahan.
“Proses ini dibuat melalui mesyuarat, bengkel, libat urus, forum atau persidangan,” kata Safar.
Tambah beliau, penambahan ahli panel PemudahCara SMJ akan dipertimbangkan dari masa ke masa mengikut keperluan dan kehendak pihak berkepentingan.
Antara industri yang dilantik sebagai PemudahCara SMJ ialah Federation of Malaysia Manufacturers Sabah Representative Office (FMM Sabah Branch), Federation of Sabah Industries, Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Sabah, Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI), Majlis Professional Sabah, Gabungan Persatuan Cina Sabah, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA), Persatuan Hotel Sabah dan Sabah Young Entrepreneurs and Professionals (SAYAP).
Selain itu, beberapa dewan perniagaan turut dilantik sebagai ahli panel iaitu Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun Malaysia (KCCI), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah (DPMM), Dewan Perniagaan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu dan Dewan Usahawan Melayu Sabah (DEUMESA).
Pada majlis sama, Safar turut melancarkan PocketBook GRP iaitu buku panduan yang akan digunakan oleh Penyelaras Peraturan (Regulatory Coordinator) dalam penyediaan Penyata Impak Peraturan.
Turut diadakan ialah Majlis Perjumpaan Dengan Pemain Industri dan Majlis Berbuka Puasa, yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai.































