Amran (tengah) ketika mengedarkan bubur lambuk kepada pelanggan Jakel.
KOTA KINABALU: Jakel Silk House Sabah meneruskan tradisi tahunan kali ini dengan mengedarkan 1,200 bubur lambuk tanda berbagi rezeki di bulan Ramadan.
Pengurus Urusan Cawangan Jakel Sabah, Mohd Amran Mohd Nor berkata program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sejak 2018 ini merupakan usaha berterusan pihak Jakel dalam menyantuni serta berbagi rezeki bersama pelbagai pihak antaranya anak-anak tahfiz dan para pelanggan mereka.
“Antara yang menerima bubur lambuk ialah Sekolah Menengah Intergrasi Teras Islam (SMITI) Al-Hafiz, Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz (SRIAH) Bandar Sierra, Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Masjid Nurul Hikmah dan Sekolah Agama Kampung Delima Melayu.
“Program yang juga mendapat kerjasama Adabi Sdn Bhd ini turut akan mengedarkan bubur lambuk berkenaan kepada balai-balai polis yang berdekatan.
“Diharap sumbangan yang diberikan ini akan dapat meraih sedikit sebanyak keberkatan pada bulan yang mulia ini,”katanya kepada media pada Sesi Pengagihan Bubur Lambuk di sini, pada Ahad.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jakel juga turut memperkenalkan Kempen Jualan Rahmah sebagai tanda menyahut seruan kerajaan dalam memastikan semua dapat berbelanja di Jakel dengan harga yang berpatutan.
“Alhamdullilah kempen yang telah dilaksanakan sejak awal Ramadan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dengan potongan sehingga 60 peratus daripada harga asal diberikan kepada pelanggan,” katanya lagi.































