Keadaan tangan kanan pemandu bas yang putus selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Kampung Seri Aman, Pasir Puteh, Kelantan petang tadi.-Utusan/Ihsan Pembaca
PASIR PUTEH: Seorang pemandu putus tangan kanan selepas bas yang dipandunya merempuh sebuah lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Kampung Seri Aman, di sini, petang kelmarin.
Kejadian pukul 4.20 petang itu turut mengakibatkan dua penumpang bas mengalami kecederaan ringan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa kejadian bas henti-henti yang dipandu Mohamad Amiruddin Azhar, 26, dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas tersebut hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah.
“Rempuhan bas ke atas bahagian belakang lori itu menyebabkan kenderaan tersebut telah meluncur ke hadapan dan merempuh tiga buah kereta yang berhenti di hadapannya.
“Pemandu ketiga-tiga buah kereta yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zaizul Rizal turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan menjelang musim perayaan.
Katanya, pengguna turut dinasihatkan supaya memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan tidak meneruskan pemanduan jika mengantuk.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kemalangan itu diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhammad Syahril Ishak di talian 011-62963162 bagi membantu siasatan,” ujarnya.





























