Keadaan ambulans swasta yang terbabas sendiri di Kuala Penyu
KUALA PENYU: Tiga individu berdepan detik cemas apabila ambulans swasta dinaiki mereka terbabas sendiri di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, kejadian berlaku di Jalan Kuala Penyu, Kampung Binsulok, pada kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 tentang kejadian ini dan sepasukan tujuh anggota diketuai beliau sendiri telah pergi ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 17 kilometer itu, kita mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah ambulans swasta KPJ dari Labuan menuju ke KPJ Kota Kinabalu telah terbabas sendiri masuk parit.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurutnya lagi, semua mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan orang awam untuk mendapatkan rawatan selanjutnya sebelum ketibaan bomba.
“Kita membuat pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya sambil menambah, operasi ditamatkan pada jam 2.42 petang. Maklumat mangsa tidak dapat diperolehi.





























