Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kabinet Negeri telah menubuhkan satu taskforce untuk mengkaji, merancang serta menarik pelabur untuk membangunkan sistem rel di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kota Kinabalu.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Phoong Jin Zhe berkata, ini merupakan usaha untuk memenuhi keperluan untuk mewujudkan kemudahan infrastruktur pengangkutan yang mampan di taman perindustrian khususnya KKIP.
“Saya sedar bahawa keperluan untuk mewujudkan kemudahan infrastruktur pengangkutan yang mampan di taman perindustrian khususnya di KKIP adalah sangat penting.
“Kabinet juga telah meluluskan projek naik taraf jalan raya KKIP untuk mengelakkan kesesakan jalan raya semasa kedua-dua pelabur utama memulakan operasi pada hujung tahun 2023,” katanya.
Beliau merujuk kepada pelaburan kilang pembuatan kerajang tembaga (copper foil) oleh syarikat SK Nexilis (M) Sdn Bhd dari Korea Selatan dan pelaburan kilang pembuatan kaca solar oleh syarikat Kumpulan Kibing dari China yang mana kedua-duanya sedang dibangunkan di KKIP.
Menurut beliau, kedua-dua kilang ini dijangka akan mula beroperasi pada suku ke-empat tahun ini dan MIDE akan terus berusaha untuk memastikan kilang ini dapat beroperasi dengan jayanya.
“Saya juga telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak pengurusan SK Nexilis dan Kumpulan Kibing untuk mengikuti status kemajuan pembinaan kilang kedua-dua pelabur tersebut. Selain itu, pertemuan ini juga memberi peluang kepada saya untuk sentiasa menggalakkan kedua-dua pelabur tersebut untuk memastikan lebih daripada 80 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada anak-anak Sabah dan berpendapatan tinggi,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena seratus hari beliau menyandang jawatan sebagai Menteri MIDE di pejabatnya di Wisma Kewangan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Phoong berkata, dalam tempoh seratus hari menggalas amanah sebagai Menteri MIDE, beliau telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan strategi untuk mempercepatkan pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan Sabah menjelang 2030.
Katanya, beberapa mesyuarat bersama agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan berhubung pembangunan strategi yang beliau ilhamkan iaitu “Leapfrogging Strategy” telah beliau pengerusikan demi mempercepatkan pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah.
Jelasnya, “Leapfrogging Strategy” ini adalah sangat penting untuk meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian dengan menyasarkan industri yang berimpak tinggi dan industri beteraskan teknologi hijau dan lain-lain.
“Strategi ini dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi untuk rakyat di negeri ini.
“Setakat ini, sebanyak lebih dari 2,500 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi pelaburan SK Nexilis (M) Sdn Bhd dan Kumpulan Kibing dari China.
“Di samping itu, Kementerian ini bersama kedua-dua pelabur tersebut juga telah menyelaras penghantaran lebih dari 135 jurutera tempatan ke Korea Selatan dan China untuk menjalani latihan kemahiran dan menimba ilmu berteknologi tinggi yang berkaitan. Sebagai tambahan, sebahagian besar anak Sabah akan terus diberi peluang untuk menjalani latihan di kedua-dua negara tersebut secara berfasa,” ujarnya.
Phoong berkata, pembangunan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di Sabah juga diperlukan sebagai satu pemangkin pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah, sambil menambah Taman Perindustrian POIC Lahad Datu dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menerusi pembangunan Zon Perdagangan Bebas.
“Dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia bersetuju meluluskan secara dasar bagi pengisytiharaan Taman Perindustrian POIC Lahad Datu sebagai Zon Perdagangan Bebas pada 16 Mac 2023 tertakluk kepada beberapa perkara yang perlu dipenuhi yang sedang di selaraskan oleh pihak POIC Sabah. Inisiatif untuk mempercepatkan kelulusan permohonan FTZ ini adalah merupakan antara keutamaan saya dan ianya selaras dengan manifesto Pakatan Harapan,” katanya.
Selain itu, untuk mengangkat dasar profesionalisme dan prinsip ketelusan, Phoong berkata, beliau mempraktikkan dasar Government to Government (G2G) serta Go To Genuine Investor (G2GI) bagi meningkatkan kecekapan untuk menarik pelaburan yang sahih. Dasar ini adalah untuk mengurangkan budaya orang tengah dan juga meningkatkan kredibiliti dan imej Sabah.
Dalam tempoh seratus (100) hari ini juga katanya, MIDE bersama Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Sabah (SEAC) telah mengambil inisiatif untuk meneroka potensi kerjasama ekonomi dengan Kerajaan Wilayah Jilin, China.
“Susulan daripada lawatan rasmi MIDE bersama beberapa agensi Kerajaan Negeri ke Wilayah Jilin pada Februari 2023 yang lalu, dianggarkan seramai 31 ahli rombongan Kerajaan Wilayah Jilin yang terdiri daripada Pegawai Kerajaan dan Perusahaan akan mengadakan lawatan balas ke Sabah pada 12-14 April 2023 bagi membincangkan selanjutnya kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor termasuklah sektor perindustrian.
“Selain daripada Wilayah Jilin, China, saya juga telah memenuhi jemputan untuk melawat ke Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan (MCKIP). Ianya adalah satu projek atas kerjasama kedua-dua kerajaan Guangxi, China dan Kerajaan Negeri Pahang, Malaysia. Usahsama tersebut telah mewujudkan point-to-point perdagangan dan pelaburan bagi kedua-dua Kerajaan untuk manfaat bersama. Saya sempat mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing, Duta Besar China ke Malaysia dan Liu Ning, Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China bagi meneroka potensi untuk mewujudkan taman perindustrian seperti MCKIP di Sabah,” jelasnya.
Mengenai pembangunan usahawan adalah merupakan antara agenda penting untuk menyokong sektor perindustrian di Sabah, Phoong berkata, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menjenamakan semula nama kementerian melalui penambahan perkataan “Keusahawanan” iaitu dari Kementerian Pembangunan Peridustrian kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
Katanya, penjenamaan Kementerian ini adalah penting selari dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick.
MIDE juga telah berjaya diberikan lebih mandat dan peruntukan dalam mengurus hal ehwal Keusahawanan iaitu selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini, tambahnya.
“Ini adalah sama dengan hasrat dan aspirasi saya untuk membantu membangunkan keusahawanan di Sabah. Mengikut statistik, 98 peratus ekonomi Sabah terdiri daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan hanya tertumpu pada pasaran tempatan. Manakala hanya dua peratus dieksport ke Semenanjung Malaysia dan pasaran Antarabangsa. Defisit perdagangan ini adalah salah satu faktor penduduk di negeri Sabah mengalami kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk di Semenanjung Malaysia.
“Sehubungan itu bagi menangani isu kebergantungan produk import, Kementerian saya melalui DIDR telah menubuhkan tujuh Pusat Produk IKS di seluruh daerah iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Beaufort, Ranau, Papar, Tuaran, Pasaraya Oceanus dan Kota Marudu. Tujuan Pusat Produk IKS ini adalah untuk menyediakan ruang mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran usahawan tempatan dari seluruh daerah. Kementerian bercadang untuk menubuhkan tiga (3) lagi Pusat Produk IKS Sabah pada tahun ini iaitu di daerah Lahad Datu, Tawau dan Penampang.
“Kementerian saya juga telah menubuhkan Pusat Produk IKS di Semenanjung Malaysia atau dikenali Authentic Sabah Mart yang terletak di GM Klang Wholesale City, Selangor. Lokasi ini dipilih kerana GM Klang Wholesale City merupakan satu pusat sehenti pemborongan yang mengumpul dan mempamerkan produk dari dalam dan luar negara. Ini satu inisiatif yang baik untuk menembusi pasaran di Semenanjung dan menarik pembeli yang merindukan produk IKS Sabah,” ujarnya.
Untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan Sabah, Phoong berkata, Kementeriannya telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan peruntukan dalam beberapa program keusahawanan seperti Program SME-UP dari RM10 juta ke RM15 juta dan beliau juga mewujudkan Skim Rebranding, Design dan Packaging serta akan memperkenalkan Hologram Authentic Sabah.
Selain itu, beliau juga telah menubuhkan satu tabung keusahawanan, Sabah Entrepreneurship Aspiration Fund (SEAF) yang telah diluluskan sebanyak RM1 juta dan saya juga sedang menunggu kelulusan KUSKOP untuk matching grant sebanyak RM 1 juta lagi bagi membantu program dan aktiviti keusahawanan. Tujuan tabung khas ini adalah untuk usahawan melaksanakan program upscaling, pitching competition dan juga membantu wujudkan abiliti pengeksportan.
“Saya juga sedang membuat kertas cadangan untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan dan Peniaga Kecil Sabah yang akan melibatkan agensi-agensi serta pemegang taruh untuk menyelaras dan memastikan keberkesanan program yang berkaitan dengan keusahawanan,” katanya, sambil menambah pada tahun ini, MIDE bersama KUSKOP akan mewujudkan sebuah one-stop center bagi membantu usahawan-usahawan untuk menerima maklumat berkenaan program keusahawanan,” katanya.
Menurut Phoong lagi, MIDE juga mengambil maklum aduan-aduan dari Scrap Iron Metal Association berkenaan Cukai Jualan Negeri (CJN) RM200 per ton yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2022.
“Setelah diteliti perkara ini dari beberapa sudut, Kabinet Negeri memutuskan untuk mengenalkan CJN 10 peratus berdasarkan harga pasaran antarabangsa yang menguntungkan dua-dua pihak, mencapai “win-win situation”.
“Kabinet juga memberi kuasa kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan (DIDR) untuk mendaftar semua pengumpul besi buruk yang mempunyai alat timbangan dan memberi lesen Kelulusan Kerajaan Negeri (SGA) untuk memudahkan membuat pemantauan,” katanya.
Pada tahun ini, MIDE juga akan melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) yang ke-sembilan sebagai pengiktirafan kepada syarikat-syarikat Sabah yang cemerlang dalam penghasilan produk dan penyampaian perkhidmatan.
Menurut Phoong, AKIS mula diperkenalkan oleh MIDE pada tahun 2007 sebagai satu platform pengiktirafan dan galakan kepada sektor Industri Pembuatan agar terus meningkatkan lagi produktiviti untuk bersaing dalam usaha membangunkan sektor industri Sabah ke peringkat global.
“Dengan ini, saya menjemput semua pemain industri di Sabah untuk menyertai AKIS 2022/2023 dengan mendaftar secara percuma. Pendaftaran akan dilancarkan pada hari ini melalui QR code yang boleh didapati di laman sesawang MIDE dan laman sosial Facebook serta Instagram Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan,” katanya.
Phoong turut memaklumkan beliau akan mengetuai satu rombongan lawatan kerja ke China bagi mengadakan perbincangan susulan dengan Kumpulan Kibing dan E-steel serta juga bersama pelabur-pelabur dari negara China yang telah mendaftar minat untuk melabur di Sabah.
Di samping itu, katanya, lawatan kerja ini juga memberi fokus untuk mewujudkan ataupun menjalinkan kerjasama ekonomi di antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Wilayah di China.
“Adalah sangat bermakna apabila lawatan rasmi ke China berakhir pada 20 April nanti, hari ini adalah secara tepat hari ke-100 saya diamanahkan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
“Saya sentiasa ingati bahawa tanggungjawab ini adalah berat dan dari rakyat. Saya akan terus berusaha dan terus bekerja keras dalam masa yang akan datang dan pastikan Sabah merekodkan prestasi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian yang lebih baik dan mampan pada tahun ini. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah atas keyakinan dan kepercayaan diberi, khususnya dari kawasan saya – Luyang,” katanya.





























