Masiung menyampaikan sumbangan ehsan kepada salah satu pasangan pengantin yang turut disaksikan oleh Grase dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Tokyo @ Hashim Omar (kiri sekali).
TONGOD: Seramai 243 pasangan pengantin di daerah ini menerima sumbangan ehsan melibatkan perbelanjaan RM243,000 sejak program itu diperkenalkan pada April 2018.
Bantuan raja sehari yang pertama kali berkahwin itu diperkenalkan Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah sebagai salah satu manifesto beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum Negeri ke-14 (PRN14) pada April 2018.
Menerusi bantuan ehsan ini, setiap pasangan warga Tongod yang berkahwin menerima sumbangan RM1,000 untuk menampung perbelanjaan memulakan kehidupan baharu berumahtangga.
Semalam, Masiung dan isteri, Datin Grase E. Ebin menyampaikan sumbangan kepada 21 lagi pasangan pangantin dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Alitang, Penangah dekat sini.
Pasangan pengantin berkenaan yang tiba di sebuah rumah rehat di kampung kelahiran Wakil Rakyat itu kebanyakanya mengenakan pakaian tradisi dan diraikan dalam satu majlis mengikut tradisi Orang Sungai.
Pegawai Masiung berkata, beliau yang terkenal dengan slogan “Tatap Kalaga” merupakan satu-satunya Wakil Rakyat di Sabah yang memperkenalkan bantuan kepada setiap pasangan raja sehari di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut.





























