Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran di Tuaran. – Ihsan Bomba
TUARAN: Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran berasingan di sini dan Sandakan hari ini.
Sebuah daripadanya iaitu rumah jenis tidak kekal dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kampung Tembulaong, Tuaran pada kira-kira jam 2 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.22 petang dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Norkizan Durudin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 14 kilometer dari BBP itu, didapati rumah jenis tidak kekal berukuran 30’X60’ kaki itu telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200’ kaki dua pancutan dan sumber air didapati daripada tangki jentera,” katanya.
Menrutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.20 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang.

Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran memusnahkan dua buah rumah di Sandakan.
Manakala, di SANDAKAN, dua buah rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 1 petang.
Ketua BBP Sandakan, PKPgB Severinus Sainkui memberitahu, kejadian berlaku di Taman Rajawali.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK I KUP Syamzari Gani dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak sembilan kilometer dari BBP itu, didapati dua buah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 15’X30′ setiap sebuah rumah telah terbakar 100 peratus dan 90 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran 400′ kaki empat pancutan dengan sumber air didapati daripada jentera water tanker bomba dan pili bomba berdekatan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.50 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang,” katanya.





























