Anwar Ibrahim memukul gong sebagai simbolik perasmian program K2K di PPR Kampung Baru Hicom, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
SHAH ALAM: Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM35 juta bagi membaiki kira-kira 10 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut diberikan di bawah Program Kita-Untuk-Kita (K2K).
“Kita anggar 10 ke12 PPR di Kuala Lumpur dan Selangor yang kita tetapkan kategori yang bermasalah. Peruntukan ini diberikan kepada PPR yang mempunyai masalah lebih serius,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program K2K di PPR Kampung Baru Hicom, di sini, hari ini.
Menurutnya, peruntukan tersebut bagi membolehkan beberapa masalah yang dihadapi perumahan tersebut seperti masalah paip, lampu rosak dan lain-lain lagi dapat diatasi segera.
Dengan peruntukan segera itu, Anwar akan meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membuka tender segera bagi membolehkan kerja-kerja kerosakan ini dengan segera.
“Saya akan meminta KPKT membuka tender terhad, yang lebih cepat daripada tender terbuka dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya.





























