Dr. Zaliha Mustafa
PAPAR: Projek Naik Taraf Hospital Papar yang mengalami kelewatan dijangka dapat dipulihkan dan disiapkan pada penghujung tahun ini serta mula beroperasi pada bulan Mac 2024.
Projek tersebut dimulakan pada 23 Mei 2017 tetapi telah mengalami kelewatan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Papar hari ini bagi meninjau perkembangan projek tersebut disamping menjalankan pemantauan rapi ke atas kemajuan pelaksanaannya.
Dr. Zaliha berkata, Projek Naik Taraf Hospital Papar ini adalah bukti bahawa Kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di Sabah khususnya Papar.
“Justeru, dengan terbinanya bangunan baharu Hospital Papar ini akan dapat membantu lebih 100,000 ribu penduduk di daerah Papar serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa.
“Projek ini telah diluluskan dengan kos sebanyak RM98.5 juta yang melibatkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi Wad Pediatrik, Wad Wanita dan Wad Lelaki.
“Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk Kecemasan & Trauma, Pengimejan (X-Ray), Farmasi Satelit, Dewan Pembedahan dan Jabatan-jabatan serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
“Keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan tersebut.
Lawatan yang turut melibatkan Menteri Kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd. Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, merupakan satu usaha proaktif bagi memastikan perkara ini mendapat keutamaan dan perhatian semua pihak.
Dr. Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa memberi komitmen yang terbaik dalam memperkasakan dan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua terutamanya penduduk di Sabah melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan fasiliti perubatan yang terbaik kepada masyarakat.





























