Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Enam orang cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Kalumpang, dekat sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Madzlan Sarman berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 9.22 pagi dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Badri Alkap dikejarkan ke lokasi.
“Sejurus tiba di tempat kejadian yang terletak 45 kilometer dari BBP, didapati dua buah kenderaan, iaitu jenis Toyota Vios bertembung dengan Perodua Arus.
“Terdapat enam mangsa berumur antara 11 dan 43 tahun mengalami kecederaan.
“Pasukan EMRS Bomba bertindak memberi rawatan awal bersama pegawai perubatan yang turut berada di lokasi sebelum kesemua mangsa dihantar ke hospital mengunakan jentera EMRS dan ambulans,” katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.11 pagi.





























