Penolong Pengarah Belia BSMM Sabah, Kevin Lo (kiri) menjelaskan aktiviti yang dilaksanakan secara bersama antara ICRC dan BSMM Sabah kepada James (tengah) sambil diperhatikan Asnan (kanan) ketika melawat ke pameran.
KOTA KINABALU: Kerjasama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah meningkatkan kapasiti dan kepakaran sukarelawan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, sejak pejabat ICRC di Sabah mula beroperasi pada 2013, pelbagai program dan sokongan teknikal telah dilaksanakan.
“Program-program ini diadakan bertujuan bagi meningkatkan kepakaran dan kapasiti para sukarelawan BSMM Sabah.
“Beberapa siri latihan seperti Training of Trainers (ToT) for Health & Hygiene dan Core Team Workshop dianjurkan oleh ICRC sebagai persediaan kepada sukarelawan BSMM yang terlibat sebelum menjalankan tugasan di lapangan.
“Selain itu, BSMM dan ICRC juga telah menubuhkan satu pasukan Core Team BSMM Sabah bagi menyokong Program Pertolongan Cemas Harmonisasi (FATH) di kampung-kampung serta Program Kesihatan dan Kebersihan untuk kanak-kanak dan golongan dewasa di negeri ini.
“BSMM Sabah turut membantu Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bagi memantau dan memberi bantuan pertolongan cemas kepada pelatih-pelatih yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Pengemis Bukan Warganegara bermula awal Februari yang lalu sehingga ke hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa anjuran BSMM dan ICRC di sini, pada Rabu.
Beliau yakin kerjasama semua pihak yang terlibat mampu membantu kerajaan negeri memenuhi keperluan masyarakat dan berharap dapat menjadikan BSMM dan ICRC sebuah badan sukarelawan yang hebat dan disegani.
Selain program latihan, ICRC turut membantu dalam penyediaan teknikal dan peralatan seperti sumbangan Global Positioning System (GPS) bagi kegunaan kenderaan bantuan kecemasan BSMM serta lampu solar bagi keperluan ibu pejabat BSMM Sabah.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Perubatan) Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, Ketua Deligasi Serantau ICRC Kuala Lumpur, Omar Odeh, Ketua Pejabat ICRC Kota Kinabalu, Donnie Leong dan Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chong.





























