Dr. Mohd Nizom Sairi
KUCHING, 5 April (Bernama): Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan serta mulia bagi seluruh penganut agama Islam. Bersempena dengan kehadiran bulan yang suci ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah meraikan seramai 80 orang pengamal media di Sarawak dalam satu Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media bertempat di Hotel Pullman, di sini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) HASiL dan menjadi medan mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara HASiL dan juga para pengamal media.
Selain itu, ia menjadi platform menghargai jasa serta peranan media sebagai agensi penyebar maklumat percukaian sekali gus membantu meningkatkan lagi tahap kesedaran dan pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.
Turut sama hadir pada majlis ini ialah Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Ranjeet Kaur, Pengarah Pejabat KPE, Vijayen A/L Nagalingham, Pengarah Negeri Sarawak serta barisan Pengarah Operasi Negeri (PON) Sarawak.
Majlis ini diserikan lagi dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Azmi Haji Shaari serta alunan persembahan Qasidah daripada Kumpulan Madrasah Al-Khairat yang dianggotai oleh lapan orang pelajar SMAR Madrasah Al-Khairat, Kuching, Sarawak.
Dr. Mohd. Nizom dalam ucapannya berkata, media merupakan antara rakan strategik HASiL yang mempunyai peranan serta fungsi yang sangat penting dalam membantu membangunkan negara menerusi pendekatan Awareness, Education dan Services atau ringkasnya AES yang dilaksanakan oleh HASiL serta diterjemahkan kepada peningkatan dalam kutipan cukai langsung negara pada tahun 2022 yang merupakan kutipan tertinggi yang pernah dicapai oleh HASiL.
Beliau juga berharap agar kerjasama serta hubungan baik ini dapat diteruskan serta diperkukuhkan lagi demi kesejahteraan Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan oleh para pengamal media di Sarawak, sesi penyampaian cenderamata turut disempurnakan oleh Dr. Mohd Nizom kepada para pengamal media yang hadir pada majlis ini. Semoga objektif penganjuran majlis ini mencapai matlamatnya di samping mendapat pahala serta keberkatan daripadaNYA.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)





























