TUARAN: Seorang lelaki lemas di sungai semasa aktiviti mandi-manda di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian berlaku di Kampung Karambunai Baru, berdekatan PPR Gayang, di sini, pada sekitar jam 3 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.01 petang, dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Rudy Mukis bergegas ke lokasi.
“Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk empat anggota pasukan penyelamat dalam air (PPDA) Zon Kota Kinabalu yang dilengkapi dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux Vigo dan sebuah bot, dan juga dua anggota dari Unit K9 bersama seekor anjing pengesan bernama Fluer.
“Setiba di lokasi sejauh 15 kilometer dari BBP itu, didapati satu kecemasan berlaku di mana mangsa dipercayai lemas di sungai ketika melakukan aktiviti mandi manda,” katanya.
Mohd. Abdul Qawie berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pencarian surface water rescue dibantu Unit PPDA, K9 dan orang awam.
“Mangsa, Mohd. Bustaman Hamma, 56 seterusnya ditemukan oleh orang awam pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9 malam, tambahnya.





























