Persatuan pencinta haIwan mahu supaya mana mana individu yang mendera kucing supaya di hadapkan ke mahkamah. – Gambar hiasan
PETALING JAYA: Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menggesa pihak berkuasa untuk mengheret pelaku jenayah yang terlibat dalam kematian tragis berpuluh bangkai kucing yang disimpan di sebuah kondominium di ibu negara.
Menurut Utusan Malaysia, persatuan itu dalam kenyataannya berharap satu siasatan terperinci dan lengkap dapat dimajukan kepada pendakwa raya selepas sekumpulan pegawai penyiasat dari Seksyen Kebajikan Haiwan dan Penguatkuasaan Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar turun ke lokasi penemuan itu, kelmarin.
Jelasnya, siasatan terperinci itu diperlukan bagi membolehkan kes itu diadili demi keadilan untuk haiwan dan keadilan terhadap manusia.
“Biarlah mahkamah menentukan mengenai kesalahan sama ada ia perbuatan kriminal atau bukan.
“Animal Malaysia mahukan kes jenayah haiwan ini sampai ke mahkamah dan dibicarakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan, rangka haiwan dipercayai bangkai kucing di rumah sewa milik seorang lelaki di Bandar Sri Permaisuri, Cheras terbongkar susulan aduan penduduk berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung penemuan bangkai kucing yang disimpan di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, pada 11 Mac lalu.
Pada masa sama katanya, polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kes terbabit.





























