Keadaan kenderaan yang terbabas sendiri dalam kemalangan di Jalan Gana Kawang, Papar, petang tadi.
PAPAR: Seorang wanite maut manakala empat yang lain, termasuk dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri ke tepi jalan dan terbalik di Jalan Gana Kawang, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 5.40 petang.
Menurutnya, panggilan diterima melalui talian balai pada jam jam 5.47 petang dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Dahlan Jainudin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 21 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda HR-V telah terbabas sendiri di tepi jalan.
“Terdapat lima orang mangsa terlibat dalam kemalangan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Seorang mangsa perempuan, Tracy Wong, 35 disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Seorang lelaki termasuk dua orang kanak-kanak dan seorang warga emas hanya mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.
“Mereka seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba bertindak membersihkan sisa-sisa kemalangan di atas jalan raya dengan menggunakan satu aliran hose reel.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain operasi ditamatkan pada jam 6.19 petang,” jelas beliau.































