Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Tebobon, Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Dua buah rumah musnah dijilat api dalam kejadian berasingan di sini dan Keningau hari ini.
Kejadian di sini berlaku di Kampung Padas Baru, Tebobon pada kira-kira jam 1 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelaamt (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 1.11 petang dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Faizal Alias bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
“Turut membantu ialah 20 anggota dari balai bantuan, BBP Kota Kinabalu bersama dua jentera FRT dan sebuah van EMRS.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 11 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20×42 kaki yang terbakar 100 peratus,” katanya.
Menurut Agustavia, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki satu pancutan sumber air dari tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.50 petang dan ditamatkan pada jam 2.23 petang,” katanya.

Sebuah rumah musnah dalan kebakaran di Keningau. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di KENINGAU, sebuah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Batu 5 berhampiran Kilang Java Keningau pada kira-kira jam 11.50 pagi.
Ketua BBP Keningau, PKPgB Sharudy Delamin memberitahu, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 11.56 pagi dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Norhasrita Abd. Manan dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 12 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 60×40 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan sumber air dari tangki jentera.
“Operasi terkawal pada jam 12.25 tengah hari dan ditamatkan pada jam 1.30 petang,” katanya.

























