Pasukan bomba semasa memadamkan kebakaran pada kereta yang terlibat. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Sebuah kereta Perodua Myvi musnah dijilat api di sini tengahari kelmarin.
Sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan berhadapan turut terkena bahangan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian itu berlaku di belakang Metro Town pada kira-kira jam 12.50 tengahari.
“Panggilan diterima melalui MERS999 pada jam 12.55 tengahari dan sepasukan 12 anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II(KUP) Alcoponcos Justin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak dua kilometer dari BBP, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi terbakar 100 peratus di bahagian enjin.
“Turut terkena bahangan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan berhadapan.
“Pasukan bomba bertindak mengawal dan memadamkan kebakaran menggunakan hose reel untuk memadam kebakaran daripada merebak,” katanya.
Agustavia berkata, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.20 petang. Operasi ditamatkan empat minit kemudian.





























