Helikopter PGU PDRM Sabah dikendalikan Nazarudin dan Gevensri membawa pegawai kanan IPD Ranau ke lokasi kejadian.
RANAU: Polis daerah Ranau sentiasa komited menjalankan tugas tanpa mengira lokasi kawasan yang jauh atau dekat demi mempastikan keselamatan penduduk daerah ini terus terjamin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dalam apa juga situasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tidak kira mereka tinggal di pekan mahupun kawasan pedalaman.
“Masyarakat di daerah ini tidak perlu bimbang kerana pihak polis sentiasa peka dengan situasi keselamatan semasa. Jika kawasan kejadian itu terlalu jauh, pihak kami akan mendapatkan bantuan unit tertentu dalam PDRM untuk memudahkan penugasan kami,”tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penugasan pegawainya ke Kampung Mansalu dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, kelmarin.

Simiun Lomudin
Kawasan Kg. Mansalu merupakan lokasi terpencil terletak kira-kira 75 kilometer daripada Pekan Ranau dan memakan masa sekitar tujuh jam untuk sampai ke perkampungan tersebut menggunakan jalan darat.
Simiun menjelaskan, penugasan pegawainya ke kampung tersebut adalah untuk meninjau dan merakam gambar lokasi kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah kereta pacuan empat roda yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun baru-baru ini.
Katanya, kerjasama dari unit udara PDRM Sabah sangat membantu pegawai penyiasat kes tersebut untuk sampai ke lokasi kejadian seterusnya melaksanakan tugas penyiasatan dengan sempurna.
“Terdapat kawasan-kawasan perkampungan yang agak terpencil dalam daerah ini. Dengan adanya Pasukan Unit Udara PDRM Sabah, setiap aduan masyarakat pendalaman yang berkaitan dengan agensi PDRM Ranau kita akan laksanakan sebaiknya,” jelasnya.
Kelmarin, helikopter Unit Udara PDRM Sabah yang dikendalikan oleh Superintendan Nazarudin Husein dan Asisten Superintendan Gevensri Baskran telah membawa dua orang pegawai kanan dari IPD Ranau iaitu Asisten Superintendan Helvin Ribus dan Inspektor Syaurin Suhurani menjalankan tugas di Kg. Mansalu.



























