Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menganggap tindakan individu yang tidak dikenali menghantar ganja ke pejabatnya dan juga perdana menteri adalah satu pembaziran.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, bungkusan tersebut telahpun diserahkan kepada pihak polis.
“Saya tidak tengok pun bungkusan itu. Orang hantar ganja dan kemudian polis ambillah bungkusan itu.
“Buang duit sajalah hantar ganja kepada saya kerana saya tidak ambil ganja. Saya tidak tahu siapa penghantar itu.
“Bungkusan itu dihantar ke pejabat saya dan dialamatkan kepada saya dan perdana menteri. Kedua-dua kami tidak ambil ganja. Bazir saja untuk penghantar itu buat demikian,” katanya selepas sidang media di Bangunan Parlimen.
Terdahulu, Rafizi mengadakan sidang media bagi memaklumkan intipati mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang diadakan kelmarin.





























