Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Jalan Utama Batu 30 Sandakan. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang pemandu lori cedera dalam kejadian kemalangan yang melibatkan sembilan kenderaan di sini petang tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PPgB Hairi Otuh berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Utama Batu 30, di sini, pada kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, panggilan berhubung kejadian itu diterima melalui talian MERS999 pada jam 4.30 petang dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Saida Yulius dihantar ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak 47 kilometer dari BBP, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan lori 10 tan merempuh lori 1.5 tan dan rempuhan tersebut menyebabkan pelanggaran sesama sendiri beberapa kenderaan di bahagian hadapan.
“Kenderaan yang terlibat ialah lori 3 tan, bas mini 29 penumpang, Perodua Myvi, Proton Saga FLX, Toyota Revo, Toyota Hilux dan Ford Ranger.
“Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu lori 1.5 tan terlibat yang mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya. Maklumat mangsa tidak diperolehi.
Menurut Hairi, pasukan bomba membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain di lokasi.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang.































