Keadaan Perodua Axia yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
PAPAR: Dua orang lelaki cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah kenderaan lain di Kampung Pengalat Besar, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, panggilan berhubung kemalangan itu diterima melalui talian balai pada jam 12.31 tengah hari dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hamdani Harith dikejarkan ke lokasi.
“Setiba ditempat kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Axia dan Nissan X-Trail telah bertembung.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki mengalami kecederaan ringan dalam Perodua Axia dan dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala seorang mangsa lelaki pemandu Nissan X-Trail tidak mengalami kecederaan. Maklumat mangsa belum diperolehi. Operasi tamat pada jam 12.50 tengahari,” katanya.































