TAMBUNAN: Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun diraikan seluruh masyarakat tanpa mengenal usia dan agama.
Begitu juga bagi wanita di Kampung Narayat Tambunan, Hari Wanita Sedunia merupakan simbol kesamarataan dari segi hak-hak serta peluang dalam pelbagai bidang.
Pengerusi Penganjur Program Hari Wanita Sedunia Kampung Narayat, Felicia Onsodon berkata, wanita masa kini bergelut dengan kerjaya demi menyara keluarga dan diri, dan pada masa yang sama, turut menjadi seorang ibu mahu pun isteri sepenuh masa di rumah.
“Pada Hari Wanita Sedunia ini, kami saling mendorong semua keluarga di kampung ini untuk meluangkan waktu bagi meraikan wanita dalam hidup mereka menerusi majlis ringkas tetapi meriah ini,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Kampung Narayat Tambunan, dekat sini, hari ini.
“Kita amat bersyukur kerana keseimbangan dari segi kepimpinan kini amat jelas terlihat dalam negeri mahu pun negara kita khususnya dalam bidang pendidikan, bidang kerjaya, mahupun dari sudut membuat sesuatu keputusan.
Menurut Felicia, majlis bertemakan pakaian Kebaya kain batik, kain sarung dan skirt itu adalah bagi memberi inspirasi, baik kepada golongan ibu, mahu pun anak-anak dalam kalangan wanita.
“Kami berharap majlis ini dapat dimanfaatkan sebagai peluang buat anak-anak untuk mengungkapkan penghargaan dan rasa terima kasih anda atas kehadiran serta jasa ibu mereka.
“Ini adalah kesempatan bagi penduduk di seluruh Kampung Narayat untuk bersatu padu, selain ruang menghormati sumbangan wanita terhadap masyarakat,” tambahnya.
Uniknya mengenai majlis tersebut, hanya golongan wanita yang hadir tanpa kehadiran para suami mahu pun anak lelaki masing-masing.
Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek oleh para wanita yang hadir dan seterusnya sesi ramah mesra dalam kalangan mereka.





























