Dr. Joachim (tengah) dan Jumain (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Augus (kiri) ketika melihat cadangan Pelan Pekan Baharu Sinurai, pada Khamis.
RANAU: Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) terlaksana dengan baik khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian ketika menghadiri taklimat cadangan pelan konsep Pekan Baharu Sinurai, di sini, pada Khamis (9 Mac).
Taklimat disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, Augus Tamaning.
Perancangan pekan baharu ini masih dalam bentuk konsep/cadangan awal, kata Dr. Joachim.
“Kita mahu membangunkan kawasan ini namun sekiranya ada bantahan maka ini akan menyukarkan proses ini,” katanya.
Cadangan telah dibuat untuk mewujudkan sebuah pekan kecil yang dilihat berpotensi dan sesuai, dan Kg. Sinurai telah dipilih yang mana ini merupakan satu permulaan yang baik demi kebaikan warga Ulu Sugut.
“Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) perlulah berhubung dengan Pejabat Daerah Ranau untuk meninjau keadaan di sini,” ujarnya.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memaklumkan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan penyelarasan projek-projek dibawah kementerian beliau yang ada di Sabah terutamanya daerah-daerah dikategorikan miskin.
Terdahulu, Dr. Joachim telah menghadiri taklimat daripada Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya Ranau mengenai Projek Menaik taraf Jalan Terawas-Malinsau-Kaingaran dan Projek Membina Jalan ke Mini Estat Sejahtera (Mesej) Mansalu yang diadakan di Kampung Meridi.
“Penduduk di kawasan ini akan bakal menikmati kemudahan jalan raya pada tahun 2025 demi merancakkan lagi kegiatan ekonomi terutamnya dari sudut pemasaran hasil barangan dari pelbagai jenis produk dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.
Ketua Kampung Sinurai, Robert Kindungu, 62, berkata, sebagai wakil penduduk di kampung tersebut beliau menyatakan pendirian mereka yang amat menyokong penuh cadangan menjadikan Sinurai sebagai Pekan Kecil.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Jupirin Haji Ruhimin; Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo; Pengurus Pembangunan Perumahan dan Bandar LPBB, Ahmad Shah Mohd Yaacob serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.





























