Sebahagian dari para peserta bergambar bersama para pengajar selepas tamat kursus tersebut.
RANAU: Kemahiran dalam menghasilkan makanan rutin seperti membuat ikan tausi dan mee goreng Singapore mampu menjana pendapatan sampingan khususnya kepada golongan suri rumah.
Mengambil iktibar daripada ini, satu Kursus Cara Buat Ikan Tausi dan Mee Goreng Singapore telah diadakan di sini baru-baru ini, disertai oleh lebih-kurang 20 orang peserta dari beberapa buah kampung.
Kursus atau demo berkenaan telah dihadiri oleh peserta dari Kg. Lohan, Kg. Mohimboyon, Kundasang, Pekan Ranau, Kinapulidan, Kg. Marakau, Kg. Bahab, Kg. Libang dan beberapa lagi.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Bahab, Harimin Duari berkata, kursus tersebut dianjurkan oleh Biro JPKK Kg. Bahab bersama Lisa Studio Dari Amway Kota Kinabalu.
Tenaga pengajar yang membimbing kursus tersebut pula ialah Cikgu Lisa dan pembantunya tenaga pengajar, Cikgu Emeldah dan Hernie.
“Anjuran ini adalah bertujuan untuk memberi kemahiran kepada penduduk yang berminat menambah pengalaman, pengetahuan dalam bidang masakan, seperti kemahiran membuat ikan tausi dan mee goreng Singapore yang masih jarang diusahakan oleh para peniaga,” katanya semasa merasmikan upacara penutupan program tersebut yang diadakan di Balai Raya Kg. Bahab, Ranau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar yang sanggup datang dari Kota Kinabalu dan juga kepada semua peserta yang menyertai kursus tersebut.
“Kita berharap kepada semua peserta agar memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi agar dapat menambah koleksi menu dalam perniagaan mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Lisa ketika ditemui berkata, matlamat mereka adalah untuk menyediakan ruang di mana idea boleh berkembang, pengetahuan dikongsi dan perspektif diperluaskan.
“Sama ada peserta sedang mencari analisis mendalam, pendapat pakar atau sekadar untuk buah fikiran, kami percaya bahawa ikan tausi dan mee goreng Singapore adalah subjek yang patut diterokai,” katanya.
Turut diadakan dalam program itu ialah acara cabutan tiket bertuah.

























