KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memperluaskan aktiviti pasar malam Api-Api Night Food Market di Jalan Gaya yang berlangsung setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, sehubungan dengan itu, dengan perluasan kawasan pasar malam tersebut di atas, DBKK akan menutup sementara kawasan tempat letak kereta dan jalan di Jalan Gaya bermula dari Blok C hingga Blok D (dari Guardian Store hingga Jesselton Hotel) bagi memberi laluan kepada aktiviti pasar malam tersebut bermula pada 10hb Mac 2023 (Jumaat), jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
“DBKK menasihatkan orang ramai dan para pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan anggota-anggota Penguat kuasa yang bertugas dan sentiasa berhati-hati serta menggunakan jalan alternatif lain dan kawasan tempat letak kereta berdekatan sepanjang tempoh penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

























