Pasukan bomba semasa berusaha memadamkan kebakaran itu. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Dua buah bangunan sebuah resort di sini musnah dijilat api petang kelmarin.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bomba Atas Air, PBK I Abdul Kadir Haji Halalan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 7 malam.
“Panggilan diterima melalui MERS999 dan sepasukan lapan anggota Bomba Atas Air seramai lapan orang diketuai Komander Operasi, PBK II Abdul Hajis Marasek bersama sebuah bot dan Kevlar serta dua anggota Balai Bantuan bergegas ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian yang terletak satu kilometer dari BBP itu, didapati ada satu kebakaran melibatkan 2 buah bangunan jenis tidak kekal iaitu rumah pam berkeluasan 20×30 kaki dan rumah penginapan berkeluasan 30×40 kaki terbakar 100 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat oleh Ketua Operasi.. Operasi pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan pam angkut dan sumber air terbuka (laut).
“Operasi terkawal pada jam 8.22 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam,” katanya.
Abdul Kadir berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.





























