KUALA LUMPUR (Bernama): RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic atau RHB) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Universiti Malaya hari ini menyerahkan sumbangan tajaan yuran pengajian kepada 10 pelajar asnaf Universiti Malaya (UM) bernilai RM5,000 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM50,000.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali ini merupakan kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP bersama para pembayar zakat RHB melalui Kempen Pelanggan Mewah RHB bagi menyantuni pelajar-pelajar asnaf di UM.
Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada Kempen Pelanggan Mewah Kumpulan Perbankan RHB yang diadakan pada tahun 2022, di mana pembayar zakat dari kalangan pelanggan dan kakitangan RHB mengambil bahagian dalam Skim Wakalah (pengembalian semula wang zakat) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, PPZ-MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula sehingga 50 peratus kepada individu yang menunaikan zakat serendah RM20,000 hingga RM1 juta setahun di PPZ-MAIWP.
“Melalui Skim Wakalah ini para pembayar zakat boleh mengambil kembali bahagian wang zakat yang ditunaikan untuk diagihkan sendiri kepada asnaf dan mereka yang berkemampuan,” katanya.
PPZ-MAIWP turut menawarkan kerjasama-kerjasama strategik bagi membantu menguruskan dana wakalah pembayar zakat melalui program-program turun padang yang diadakan.
“Pihak RHB Islamic mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembayar zakat yang menyertai inisiatif “Pakej Khas untuk Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan” yang dilancarkan pada September 2022 oleh RHB Islamic. Pada tahun ini, lebih daripada RM100,000 Zakat Wakalah telah berjaya dikumpulkan di bawah Pakej Khas ini. Kami berharap agar dapat terus bekerjasama lagi untuk mengembangkan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi, melalui pelbagai mekanisma zakat serta instrument kewangan sosial Islam yang lain di masa hadapan” kata Adissadikin.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor.
Latar Belakang PPZ-MAIWP
Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. PPZ-MAIWP telah merevolusikan institusi zakat dengan memperkenalkan sistem kutipan zakat melalui institusi yang berciri korporat di negara Malaysia. Sejak penubuhan, PPZ-MAIWP telah berusaha menambah baik operasi dan perkhidmatan untuk meningkatkan kemudahan umat Islam dalam melaksanakan kefardhuan berzakat. Setakat ini PPZ-MAIWP telah menyediakan 9 saluran bayaran zakat bagi memberi pilihan dan kemudahan kepada umat Islam. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my
Mengenai Kumpulan Perbankan RHB
Kumpulan Perbankan RHB (RHB), dengan RHB Bank Berhad sebagai syarikat induk, adalah salah satu kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia. Perniagaan teras RHB disusun menjadi enam tonggak perniagaan utama, iaitu Perbankan Runcit Kumpulan, Perbankan Perniagaan & Perbankan Transaksi, Perbankan Borong Kumpulan, Perniagaan Syariah Kumpulan, Perniagaan Antarabangsa Kumpulan dan Insurans Kumpulan. Perbankan Borong Kumpulan merangkumi Perbankan Korporat, Perbankan Pelaburan, Perbendaharaan Kumpulan & Pasaran Global, dan Pengurusan Aset. Kesemua enam tonggak perniagaan ditawarkan melalui RHB Bank Berhad dan anak syarikat utama – RHB Investment Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan RHB Insurance Berhad, sementara pengurusan aset dan perniagaan unit amanahnya dilakukan oleh RHB Asset Management Sdn. Bhd. dan RHB Islamic International Asset Management Berhad.
Kehadiran serantau RHB kini merangkumi sembilan negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Kemboja, Vietnam dan PDR Laos. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.rhbgroup.com
Sumber: Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP)





























