Keadaan sebuah daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Tiga sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak maut manakala seorang cedera parah dalam dua insiden kemalangan jalan raya yang berlaku serentak di lokasi berbeza di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, dalam insiden pertama, tiga sekeluarga maut apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tungku, Kampung Bekapit, di sini, lebih kurang jam 7 malam.
Sumsoa berkata, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Amil Sappari, 45, Isang sappari, 39 dan Ellaine Sappari, 4.
Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima melalui talian MERS999 mengatakan satu kejadian kemalangan berlaku di lokasi tersebut pada jam 7 malam melibatkan lapan orang mangsa.
Sepasukan anggota seramai empat orang diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Adami Madduri dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 34 kilometer dari BBP.
“Setiba tempat kejadian, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu motorsikal Honda Wave, Mitsubishi Triton dan Isuzu Dmax.
“Terdapat lapan orang mangsa yang terlibat, termasuk tiga orang yang disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan KKM di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan. Lima lagi mangsa yang lain tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.
Menurut Sumsoa, tiada operasi menyelamat yang dilakukan oleh pasukan bomba hanya pemeriksaan oleh anggota EMRS kepada mangsa yang terlibat.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.50 malam,” katanya.
Sementara itu, katanya, dalam insiden kedua, pihaknya menerima makluman tentang satu lagi insiden kemalangan yang juga berlaku di Jalan Tungku, Kampung Bekapit, pada masa yang sama, tidak jauh dari lokasi kemalangan pertama.
“Kita menerima makluman melalui talian MERS999 dan sepasukan anggota sembilan anggotta diketuai Komander Operasi, PBKII Mohamud Punya bergegas ke lokasi bersama sebuat jentera dan van EMRS.
“Setiba di sana, didapati ada satu kemalangan melibatkan sebuah bas mini jenis van Toyota Hiace membawa penumpang. Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pemandu bas mini yang berumur 36 tahun telah cedera di bahagian kepala manakala tiga orang mangsa yang lain tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.
Menurut Sumsoa, mangsa diberi rawatan oleh pasukan EMRS dan KKM sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan susulan.
“Operasi ditamatkan pada jam 9.10 malam,” katanya.





























