Keadaan rumah tersebut. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Hubah, N C Mogunting, di sini, terbakar awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
“Kita menerima panggilan pada jam 2.23 pagi mengenai insiden itu dan sepasukan seramai 13 orang diketuai Pegawai Operasi, PBKII Callixtus Fedilis, bersama sebuah jentera dan kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi itu.
“Setibanya di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP, didapati satu kebakaran melibatkan bahagian beranda rumah kosong tidak berpenghuni jenis kekal 3 tingkat dengan keluasan 50×45 kaki itu yang telah terbakar 15 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan hos air paip berhampiran kerana tiada laluan masuk dan laluan sempit untuk jentera bomba ke lokasi rumah tersebut,” katanya.
Zeno memberitahu, operasi terkawal pada jam 2.50 pagi dan ditamatkan pada jam 3.40 pagi.





























