Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mengiktiraf persatuan kumpulan etnik yang berdaftar di Sabah dan menyokong usaha mengangkat martabat pelbagai kaum, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Di Sabah sahaja, kita mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik antaranya Kadazan, Dusun, Bajausama, Rungus, Murut, Iranun, Orang Sungai, Kedayan, Lundayeh, Ubian dan Tatana.
“Kita akui bahawa penyatuan budaya, nilai dan tradisi di bawah satu payung bukanlah suatu tugas yang mudah. Malah ia kadangkala disulami jerit perih yang menuntut pengorbanan dan jiwa besar dalam kalangan pemimpin mahupun rakyat seluruhnya.
“Bagaimanapun, Gabungan Muafakat Pertubuhan Etnik-Etnik Bumiputera negeri Sabah (MAGEBS) berjaya dan ia dibuktikan dengan pelancaran MAGEBS pada malam ini, selepas didaftarkan pada tahun 2017,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

James mewakili Ketua Menteri memalu gong sebagai tanda rasmi pelancaran MAGEBS
Ketua Menteri berkata, sesungguhnya, penubuhan MAGEBS adalah tepat pada masanya terutama pada era globalisasi ini.
Katanya, penyatuan semua kumpulan etnik Bumiputera di bawah satu payung adalah amat strategik dan penting sebagai perisai yang dapat menghalang pelbagai elemen-elemen perpecahan dan keganasan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya berharap MAGEBS akan menjadi satu payung untuk memantapkan lagi perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini. Tanpa benteng perpaduan dan kefahaman untuk saling hidup bertoleransi dalam kalangan penduduk, akan menyebabkan masyarakat kita akan pecah dan mudah untuk diperkotak-katikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, MAGEBS juga memainkan peranan untuk membantu mempromosi budaya dan kesenian etnik di negeri ini kerana masih banyak lagi khazanah budaya lama yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman,” ujarnya.
Dengan ketibaan pelancong yang semakin meningkat dan Sabah merekodkan seramai 1,012,119 pengunjung bagi tahun 2022, Ketua Menteri melihat ini sebagai satu peluang besar untuk semua persatuan etnik memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing.

“Justeru, saya berharap MAGEBS akan memainkan peranan yang lebih besar dan bermakna dalam mengelola dan membantu kerajaan negeri melestarikan penglibatan etnik bumiputera dalam industri pelancongan,” kata Hajiji.
Beliau juga mengalu-alukan usaha MAGEBS untuk membangunkan satu Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Etnik di Sabah.
“Saya dimaklumkan, ia akan menempatkan bangunan-bangunan etnik untuk tujuan pemuliharaan, pengembangan dan pelancongan. Saya yakin usaha ini akan menjadi antara pemacu kepada industri pelancongan di negeri Sabah dengan mengetengahkan aspek terperinci setiap kumpulan etnik yang ada di negeri ini,” katanya.
Melihat kepada komitmen MAGEBS untuk memulihara kebudayaan dan keseniaan kumpulan etnik yang ada di negeri ini, Hajiji berharap mereka juga akan melahirkan tenaga sukarelawan etnik bumiputera, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Ini bagi memastikan generasi muda kita yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, turut mengenali budaya bangsa masing-masing,” katanya, sambil menyeru semua pihak yang berkaitan perlu bersama-sama membantu MAGEBS untuk pembangunan keseniaan dan kebudayaan serta apa juga yang berkaitan dengan etnik di negeri ini.
“Saya mendoakan agar MAGEBS terus bergerak maju dan terus berfungsi sebagai sebuah institusi bukan kerajaan yang mendokong aspek penyatuan budaya dan rakan penting dalam pembangunan negeri Sabah.
“Kepelbagaian etnik, budaya, bahasa, rupa bangsa yang ada di negeri yang kita sayangi ini perlulah kita pertahankan dan pelihara sebagai identiti unik lambang masyarakat berbilang bangsa,” kata Hajiji.































