George Hiew
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew keluar Parti Warisan hari ini dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Mengumumkan ini dalam satu kenyataan hari ini, George berkata, keputusan tersebut diambilnya demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Karamunting.
“Rakyat tidak mahu ketidakstabilan politik menghalang pembangunan khususnya di Karamunting.
“Demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Karamunting, saya telah memutuskan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Sabah di bawah Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Beliau merupakan ADUN Warisan yang ke-11 meninggalkan parti itu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut Sabah pada September 2020.
Lima hari lalu, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari juga telah keluar Warisan untuk menyokong Hajiji.
ADUN lain yang keluar dari Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat ialah Hassan Gani Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Norazlinah Arif (Kunak), Datuk Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Dua lagi ADUN Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau), membentuk parti baharu – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
ADUN Kukusan, Rina Jainal menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat ); manakala ADUN Segama, Datuk Mohammadin Ketapi kelihatan kekal bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas tampil sebentar menyokong UMNO Sabah pada Januari.
UMNO Sabah, yang menarik balik sokongan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 6 Jan dalam usaha yang gagal untuk menjatuhkan Hajiji, turut menyaksikan empat ADUNnya – Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung) – menyertai Gagasan Rakyat.
Penghijrahan ADUN Warisan dan Barisan Nasional-UMNO telah melonjakkan kedudukan Hajiji.
GRS kini menguasai lebih dua pertiga daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui sokongan parti mesra termasuk Pakatan Harapan, KDM dan Barisan-UMNO Sabah.
Dengan perkembangan terbaru ini, Warisan kini tinggal 14 ADUN.



























