Masiung (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para pegawai dan kakitangan LPPB di majlis Amanat Pengerusi LPPB 2023 itu.
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) membentuk satu Jawatankuasa Strategik dan Pelaburan yang berfungsi sebagai platform untuk menarik pelabur baharu dalam sektor hartanah di wilayah Sabah.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, jawatankuasa khas ini juga bertindak mengenalpasti kemampuan pemaju yang menjalankan usahasama dengan LPPB sebelum mengeluarkan sebarang tawaran projek.
“Jawatankuasa ini bukan saja menjurus dalam pembangunan hartanah tapi turut melihat potensi lain yang difikirkan sesuai.
“Lebih penting lagi jawatankuasa ini berfungsi mengawasi projek yang berimpak tinggi agar tidak menjadi ‘gajah putih’ selain meyakinkan pelabur domestik tentang komitmen dan polisi kerajaan,” katanya selepas merasmikan majlis Amanat Pengerusi LPPB 2023 di Dewan Hakka, di sini, Rabu.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, berdasarkan pengalaman lalu ada segelintir pemaju gagal menyiapkan projek selepas menjualnya kepada pihak kedua.
Jawatankuasa yang diketuai beliau sendiri dan turut dianggotai pegawai kanan dan Ahli Lembaga Pengarah LPPB berperanan sebagai pemantau kepada projek yang akan dan sedang berjalan.
“Bermula awal tahun ini kita sedang merangka garis panduan membolehkan satu pelan tindakan dapat diambil dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Sementara itu, semasa menyampaikan amanatnya, Masiung berkata, dalam tempoh RMK12 berakhir Disember lalu LPPB telah membangunkan 70 bandar baharu di seluruh Sabah
Bagaimanapun katanya, masih terdapat empat buah bandar baharu yang telah diluluskan itu kini masih dalam proses pembinaan.
Antara bandar baharu yang masih dalam pembinaan ialah di Kalabakan, Tongod, Merotai dan Sungai Melayu di Sebatik.





























