Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah, seiring dengan pandangan pemimpin-pemimpin negeri, menaruh harapan tinggi Bajet 2023 yang dibentang kelmarin akan merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sabah menerima suntikan khas secara terus RM6.5 bilion dari RM388 bilion Bajet 2023, peningkatan lebih tiga peratus berbanding tahun lalu, di samping menerima pelbagai peruntukan lain seperti RM20 bilion melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kedua-dua Sabah dan Sarawak serta penerima terbesar faedah peruntukan RM1.2 bilion bagi menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan RM1 bilion untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan dengan Indonesia termasuk di Kalabakan akan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah berikutan pembinaan bandar pentadbiran baru Indonesia di Nusantara.
“Rakyat khususnya di Pedalaman juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, golongan petani, pekebun getah, belia, wanita dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari Sabah bakal turut sama menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai, seperti diumumkan.
“Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan PMKS tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara. Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik Covid-19 dua tahun kebelakangan ini.
“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat,” kata Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya, termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian, untuk mempertingkat sumber makanan sekaligus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita.
“Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini dan diharap ia landasan kepada bajet-bajet madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang. Insyallah,” ujarnya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu berkata, ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan lagi pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.





























