Jainisah (lima dari kanan) menyerahkan cenderakenangan kepada Izani (empat dari kiri).
KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) mempelawa agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menjadi Urusetia bersama Program Kembara Merdeka Peringkat Zon.
Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor berkata program tahunan tersebut akan dilaksanakan di enam zon utama negeri ini iaitu Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Pedalaman Bawah, Pedalaman Atas, Tawau dan Sandakan bertujuan menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang.
“Setiap agensi KKD akan dipelawa menjadi urusetia di zon pilihan masing-masing dan perbincangan serta penyelarasan sedang diperhalusi untuk mengoptimumkan pelbagai sumber bagi memastikan masyarakat menerima impak positif aktiviti-aktiviti kenegaraan yang dianjurkan kelak,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Negeri MCMC Pejabat Negeri Sabah, Izani Othman di Wisma MAA.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan, KPP Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong dan KPP Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Busmin Brahim.































